Friday, April 8, 2011

dulu di kala senja masanya habis dimamah padang rumput, peluh semput.

ditambah sedikit usia, senjanya luput digigit nyamuk yang hadir ketika mimpinya terbang larut. dia membakar segala lelah, pipinya yang basah mengorak langkah menjadi gagah. dirasakan dia tak mampu, walau sebenarnya dia mahu. dikeluhnya segala cerita, duka dan lara.

sekarang senjanya hadir sekembalinya dia dari pintu pagar berputar-putar. hidupnya seperti dikilang dan dimuntah. dia tidak biasa. sekali lagi, dirasakan dirinya itu lemah perkasa, seperti anak kecil yang takutkan malam gelita. dia menjerengkut di atas tilam usang berkawah. hatinya resah, serba tak kena. gelap semuanya. gelap segalanya.

"apakah emansipasiku, merupakan sebuah pusara?"

dia keliru dan malu.

hadirnya gadis itu seperti mesin bantuan nyawa. dia bersalah dan bermasalah. dia tidak menyangka dirinya akan berubah menjadi sampah. sangkaannya semuanya meleset. ada masanya, dia tidak punya kekuatan untuk turun dan menjamah. dia terlalu lemah.

perlahan-lahan dia bangun. gadis itu sentiasa ada. tidak pernah putus asa. jerit dan suara, lembut dan manja, tetap, dia ada. gadis itu adalah temannya di dunia, serta temannya berjalan di taman-taman syurga pada satu masa.dia

dia perlu. dan dia mahu. dan dia mampu.

Friday, February 11, 2011

Menjadi Dewasa Dan Mengungkit Remaja

Kalau kau manusia berumur belia,kau tegar menjadi pengungkit kisah-kisah lama.

Hidup kanak-kanak dan remaja kau fikirkan mudah.Kala ini kau mahu seluruh jasadmu dikembalikan ke zaman yang kau menghabiskan seluruh kapasiti bijaksana untuk mencari cinta.Juga saat-saat itu kau baru mengenal syahwat,usia pubis kamu meningkat,dan matamu meliar mencari pemakai-pemakai baju ketat dan seluar sendat.

Mahu menjadi kanak-kanak yang bebas dalam bermain dengan setiap rintik hujan,tanpa memikirkan soal demam atau rotan.

Kau mahu hidup kembali dalam zaman yang kau rasakan tidak terbeban dengan semua tekanan.Kau tidak mahu menjadi dewasa yang jenuh memikirkan dan mengeluhkan.

Ya,mengeluh.

Di setiap fasa kehidupan,setiap manusia mengeluh.Kadang-kadang dalam.Kadang-kadang pendek,pelepas letih.

Selalu aku,dan mungkin kau juga terlupa yang kita ini hamba.Yang kita ini makhluk yang selalunya bermasalah.Diciptakan jiwa itu bersifat keluh dan kesah.Merintih dan mendesah.

Allah itu berfirman:

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Hidup ini untuk diuji.

Bersyukurlah dengan setiap ujian dan dugaan.Menjadi hambalah dengan kesusahan dan penderitaan.Menangislah dan mengadulah,kau serahkan semua perasaan kepada Dia yang mencipta perasaan.

Paksikanlah seluruh tumpuan nafasmu ke arah Allah yang menciptakan.Semoga bila kau habis bernafas,Allah menumpukan seluruh perhatian cintaNya kepadamu.


Friday, January 28, 2011

kota singa

selalu ada dalam komuniti ramai, perbalahan antara mereka-mereka. di kota singa tempoh hari ada sedikit kacau, lantaran percikan suara pemimpin lama mereka, menjerit supaya muslim dirojakkan bersama bukan muslim. bagi tujuan kemajuan negara katanya. rakyat pasti boleh bersatu padu bila agama pun mampu dirojak-pasemborkan. lantas perlulah ada kitab-kitab kompilasi semua agama, dijual di gedung-gedung buku paling mahal, dikulit-tebalkan, diletakkan sekali bersama diskaun dan tawaran hebat 100 pembeli pertama.

apa kemajuan negara itu bergantung pada seberapa rojaknya agama?
kalau begitu, lantik saja ayah pin jadi perdana menteri.

bingkas muslim di kota singa marah. yang bertatu, yang berpakaian seperti hantu, yang menutup aurat selalu, semua-semua lah! pastinya marah pabila keterangan sebegitu rupa dihamburkan pada rakyat jelata.

gagahlah dalam beragama kamu semua.

katakanlah MUHAMMAD, "Wahai orang-orang kafir!, aku tidak sembah apa yang engkau sembah, dan engkau bukan penyembah apa yang aku sembah. dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang engkau sembah. dan engkau tidak pula menjadi penyembah apa yang aku sembah. untukmu AGAMAMU, dan untukku AGAMAKU".

surah Al- Kafirun.

Monday, January 17, 2011

Kalut Seorang Belot

Seorang belot
mengkalut.

Memilih berenang sampai hujung laut;
dan terbang sampai hujung angkasa!

Dan dia yang belot mencari-cari
di mana bumi yang nanti tidak dicari.

Lagi dia yang belot mengejar-ngejar
di mana tanah yang nanti tidak dikejar.

Akhirnya dia berhenti,kalut.
Tak jumpa,lalu melalut.




Eh?
Kan dulu pernah datang cahaya;
dan jalanmu dulu pernah cerah?
Oh Tuhan selamatkanlah.

Monday, January 10, 2011

doa

soal hati. bicaranya siapa yang tahu? dibolak balikkan setiap hari, setiap waktu. sekejap di atas, sebentar lagi di bawah. ya ALLAH.

cinta suci yang tidak mengenal erti malu, tidak mengenal erti jemu, erti rindu. cinta ALLAH yang maha agung. kalau dikejar, pasti kejayaannya besar. hilang segala ketakutan, segala keraguan, kerisauan. apalah aku mahu menilai. siapalah aku untuk mengatakan kau jahat dan kau sombong?

ya ALLAH, dekatilah hati-hati kami ini, yang lesu tanpa cintamu, yang ragu tanpa barakahmu, yang takut tanpa ketenanganmu. kami tiada kekuatan ya ALLAH, kerana kau yang maha agung, dan segalanya bergantung pada engkau. segalanya ya ALLAH, kejayaan, ketenangan, kebahagiaan, keyakinan dan apa saja yang boleh membuat kita menang dan tenang di atas dunia serba penuh dengan perangkap tipu daya. ya ALLAH, cintailah kami ya ALLAH, pandanglah kami ya ALLAH, kabulkanlah doa-doa kami ya ALLAH.

aku merayu seribu ampun dan maaf darimu ya ALLAH, penciptaku yang maha agung.

amin.

Thursday, January 6, 2011

Nabi Seluruh Sinai


Bagaimana harumnya udara yang saat itu wajib kaucerna
Sampai siap kau menghilang ragu dan membunuh tanya

"Oh pergilah kau bersama saudara
terangkan kepada Sang Raja
mengaku Tuhan membina dunia"

"Kau marhaen yang berdosa
Mengapa kau nabi pula?"

Gemuruh seluruh Sinai
dan membebar seluruh damai
mengaku hamba kepada insan
mengaku hina sedarjat haiwan

Oh,jiwamu keresahan
dengan sihir kesyaitanan

"Lemparkan!Lemparkan!Lemparkan!"

Oh,jiwamu keresahan dengan sihir kesyaitanan
Oh,dadamu kesesakan dengan cela sejutaan

"Lemparkan!Lemparkan!Lemparkan!"


Seluruh Sinai kini bisu

"Ini bukan sihir!Itu bukan sihir!"

Seluruh Sinai kini tahu

"Itu bukan sihir!Ini bukan sihir!"


Dan tersujudlah menyembam wajah
dan terkuburlah mantera helah
dan tercucurlah tangis resah
dan teryakinlah dengan Ilah.


(AlQuran-20:64-70)