Friday, January 28, 2011

kota singa

selalu ada dalam komuniti ramai, perbalahan antara mereka-mereka. di kota singa tempoh hari ada sedikit kacau, lantaran percikan suara pemimpin lama mereka, menjerit supaya muslim dirojakkan bersama bukan muslim. bagi tujuan kemajuan negara katanya. rakyat pasti boleh bersatu padu bila agama pun mampu dirojak-pasemborkan. lantas perlulah ada kitab-kitab kompilasi semua agama, dijual di gedung-gedung buku paling mahal, dikulit-tebalkan, diletakkan sekali bersama diskaun dan tawaran hebat 100 pembeli pertama.

apa kemajuan negara itu bergantung pada seberapa rojaknya agama?
kalau begitu, lantik saja ayah pin jadi perdana menteri.

bingkas muslim di kota singa marah. yang bertatu, yang berpakaian seperti hantu, yang menutup aurat selalu, semua-semua lah! pastinya marah pabila keterangan sebegitu rupa dihamburkan pada rakyat jelata.

gagahlah dalam beragama kamu semua.

katakanlah MUHAMMAD, "Wahai orang-orang kafir!, aku tidak sembah apa yang engkau sembah, dan engkau bukan penyembah apa yang aku sembah. dan aku tidak pernah menjadi penyembah apa yang engkau sembah. dan engkau tidak pula menjadi penyembah apa yang aku sembah. untukmu AGAMAMU, dan untukku AGAMAKU".

surah Al- Kafirun.

Monday, January 17, 2011

Kalut Seorang Belot

Seorang belot
mengkalut.

Memilih berenang sampai hujung laut;
dan terbang sampai hujung angkasa!

Dan dia yang belot mencari-cari
di mana bumi yang nanti tidak dicari.

Lagi dia yang belot mengejar-ngejar
di mana tanah yang nanti tidak dikejar.

Akhirnya dia berhenti,kalut.
Tak jumpa,lalu melalut.




Eh?
Kan dulu pernah datang cahaya;
dan jalanmu dulu pernah cerah?
Oh Tuhan selamatkanlah.

Monday, January 10, 2011

doa

soal hati. bicaranya siapa yang tahu? dibolak balikkan setiap hari, setiap waktu. sekejap di atas, sebentar lagi di bawah. ya ALLAH.

cinta suci yang tidak mengenal erti malu, tidak mengenal erti jemu, erti rindu. cinta ALLAH yang maha agung. kalau dikejar, pasti kejayaannya besar. hilang segala ketakutan, segala keraguan, kerisauan. apalah aku mahu menilai. siapalah aku untuk mengatakan kau jahat dan kau sombong?

ya ALLAH, dekatilah hati-hati kami ini, yang lesu tanpa cintamu, yang ragu tanpa barakahmu, yang takut tanpa ketenanganmu. kami tiada kekuatan ya ALLAH, kerana kau yang maha agung, dan segalanya bergantung pada engkau. segalanya ya ALLAH, kejayaan, ketenangan, kebahagiaan, keyakinan dan apa saja yang boleh membuat kita menang dan tenang di atas dunia serba penuh dengan perangkap tipu daya. ya ALLAH, cintailah kami ya ALLAH, pandanglah kami ya ALLAH, kabulkanlah doa-doa kami ya ALLAH.

aku merayu seribu ampun dan maaf darimu ya ALLAH, penciptaku yang maha agung.

amin.

Thursday, January 6, 2011

Nabi Seluruh Sinai


Bagaimana harumnya udara yang saat itu wajib kaucerna
Sampai siap kau menghilang ragu dan membunuh tanya

"Oh pergilah kau bersama saudara
terangkan kepada Sang Raja
mengaku Tuhan membina dunia"

"Kau marhaen yang berdosa
Mengapa kau nabi pula?"

Gemuruh seluruh Sinai
dan membebar seluruh damai
mengaku hamba kepada insan
mengaku hina sedarjat haiwan

Oh,jiwamu keresahan
dengan sihir kesyaitanan

"Lemparkan!Lemparkan!Lemparkan!"

Oh,jiwamu keresahan dengan sihir kesyaitanan
Oh,dadamu kesesakan dengan cela sejutaan

"Lemparkan!Lemparkan!Lemparkan!"


Seluruh Sinai kini bisu

"Ini bukan sihir!Itu bukan sihir!"

Seluruh Sinai kini tahu

"Itu bukan sihir!Ini bukan sihir!"


Dan tersujudlah menyembam wajah
dan terkuburlah mantera helah
dan tercucurlah tangis resah
dan teryakinlah dengan Ilah.


(AlQuran-20:64-70)

air mata

asyik dalam lautan rindu pencipta rindu. hanyut semua nafsu. rinduku menebal. sayang makin tajam. cahaya tiba-tiba sampai. asyik.

hidayah itu asyik sahabat. tangisan pada pencipta itu manis. menangislah padanya. kerana dia sebaik-baik pendengar, sebaik-baik penerima.

menangislah padanya. menangislah padanya selama-lamanya.

pandu!

pemiliknya tiada apa. semuanya digantung pada satu kuasa. segalanya diserahkan padanya. tapi apakah ada harta yang menjadi milik kita? sebenarnya? realitinya? hakikatnya?

lalu siapakah pemilik segala-galanya? jika hati tidak tenang, pada apa yang diburu untuk mencapai tenang itu? lantas sampai bila ketenangan itu ada? siapa pula yang membolak-balikkan hati? kuasa siapa? siapa yang mengawal segalanya?

ya ALLAH, maha suci engkau. maha mulia engkau. maha kaya engkau. maha pengasih engkau.

lafaz kata cinta itu. cintalah yang maha kekal. cintalah pada pencipta cinta, pada pemilik rindu, pada penguasa segalanya. dan dengan itu, tiada apa yang perlu dirisaukan, kerana segalanya sudah tercapai. capailah akhirat, maka dunia akan mengekori kita.

dan dalam dunia yang serba tipu ini, kita perlu panduan yang sebenar-benar panduan. supaya tidak hanyut pada hasutan, tidak gagal dalam ujian. jawapannya sudah tersedia dalam buku panduan, AL-QURAN. nampak remeh dan kecil, tapi hakikatnya, subhanALLAH!

serius aku kali ini. mungkin sedikit tersentuh hati ini.

Wednesday, January 5, 2011

Kamu Makhluk

Pegang dadamu dan bisikkan dalam-dalam ke dalam akalmu:apakah warna hatimu?

Dalam kau bernafas,dan bila langkah-langkahmu membebas,dan kata-katamu dilepas,kau berdosa.Ya,kau pasti berdosa.

Kerana kau manusia.Kau bukan malaikat yang suci.Kau manusia yang sekejap-sekejap lupa,sekejap-sekejap cinta.Pandanglah jauh ke dalam dirimu,aku yakin,kau akan berjumpa silap yang kerap-kerap sampai salah yang sekejap-sekejap.Daripada onar sekecil-kecil sampai makar sebesar-besar.Kau berdosa.Tuntas.

Lalu apa buatmu?

Istighfar.Kata nabimu:

Setiap anak Adam (yakni manusia) pasti melakukan kesalahan, sedangkan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.

Istighfar,dan lepaskan semua belenggu di jiwamu.Banyakkan zikirmu,kuatkan ibadahmu.Langitkan rindumu dan buang jauh-jauh semua kepungan bangsat berupa hasad,riya dan ujub yang menjadi pengganggu ikhlas dalam dirimu.Kamu sesungguhnya tidak mampu menyelamatkan diri daripada berdosa,namun kamu itu berhak memilih bertaubat atau menjadi khianat.

Taubatlah,teman.Istighfarlah.

Kamu itu makhluk.Kamu diciptakan.Kamu tak mampu bertahan sekejap tanpa udara yang percuma diberi Tuhan.

Lalu,bila habis semua itu,akan datang tenang di jiwamu.Lalu peganglah kembali dadamu dan bisikkan dalam-dalam ke dalam akalmu:Sekarang apakah warna hatimu?







Monday, January 3, 2011

ampun

kepadamu kekasih,
aku bertanya,
apakah kau akan menerimaku kembali?

atau harus menghitung kembali,
segala jasa bakti,
atau harus mencampakku kesisi,
tanpa harga diri.

segala rentak yang pernah ditari. semua bukit yang pernah didaki. seluruh langkah yang pernah dilalui. semuanya akan menjadi saksi, dihadapan tuhan yang maha agung. biar bagaimanapun ditutup, walau dengan apa cara sekalipun diselimut, tidak ada cara lain untuk memadamnya, kecuali dengan jalan taubat. taubat yang sebenar-benar taubat.

ya pastinya dosa lama pasti akan menyerang semula. pasti tindakan kesilapan akan menikam belakang. tapi pasti ada cara untuk meminta ampun bukan? semua manusia mahukan cubaan kedua. mungkin, dicubaan kedua ini, mereka akan membuat yang terbaik, belajar dari kesilapan lama, takkan mengulanginya semula.

maha mulia tuhan, ALLAH, tuhan sekalian alam.

dia maha pengampun, maha menutup aib manusia, maha bijaksana, maha kaya, maha gagah, maha mulia. gantungkan semuanya padanya, kerana padanya sajalah kita bergantung harap. maha pengasih tuhan itu, sehingga sanggup memberi amaran untuk menghukum, tidak terus menghukum. maha penyayang tuhan itu, sehingga setiap dosa boleh dibakar, hanya dengan kata janji tidak mengulanginya lagi.

biar penuh seisi bumi, pasti dihapus.

ampunkan aku tuhan. ampunkan kami tuhan. ampunkanlah tuhan. aku merayu.

Pakcik Cakoi Seksi dan Tujuan Hidupnya.

Petang tadi terlihat seorang pakcik peniaga cakoi di tepi masjid berjalan perlahan-lahan menuju masjid seketika waktu asar telah masuk.Tangannya yang masih berdebu dengan tepung,meminta disucikan serentak bila mengambil wudhu.

Ada sesuatu pada pemandangan biasa ini.Ada keindahan yang tersimpan dalam debu-debu tepung dan lenggok-lenggok perlahan jalanan menuju masjid tersebut.Oh,sudah tentu apabila menyebut soal lenggok jalannya ianya bukan daripada sudut kecenderungan seksual luar norma. : - p


Perkara yang paling superb seseorang boleh buat dekat manusia lain adalah memberikan tujuan dalam hidupnya.Memberi sebab dan alasan kenapa dia dihidupkan.

Nampak sayur jek kan?

Sebenarnya ianya bukan semudah yang kau dan aku ingat.Bukan semudah memberi jawapan dan kemudian semuanya berubah.Kehidupan yang kau dan aku lalui,kita semua mempunyai perspektif masing-masing.Dan membicarakan soal perspektif atau sudut pandang inilah yang sebenarnya susah.Perspektif ini dibina berdasarkan pengetahuan dan pengalaman seseorang,yang pastinya berbeza-beza.

Sepanjang pengetahuan aku,manusia yang paling berjaya buat benda ni adalah Nabi Salallahu Alaihi Wasallam.Tengok macammana Nabi mengubah paradigma pemikiran masyarakat jahiliyyah kepada sebuah tamadun yang sangat pesat.

Apa yang diubah?Perspektif,sudut pandang masyarakat tersebut.

Masyarakat jahiliyyah zaman nabi diberi tujuan hidup.Diberi janji syurga,diberi ancam neraka.

Lalu apa kaitannya dengan pakcik cakoi seksi tersebut?

Bagaimana kehidupannya mencari kekayaan tidak menghalang langsung keperluan sujudrukuknya.Nyata dia mempunyai tujuan pasti dalam hidupnya.Tegar dia meninggalkan dunia sekejap demi menjawab keperluan yang lebih menekan,iaitu batiniah.

Sekali lagi,bukan dalam nada bahasa-ranjang-suami-isteri.

Tujuan hidup,yang jelasnya mati.Yang paling pasti dalam hidup itu adalah kematian.Setiap manusia pasti mengalami kematian,dan dalam saat-saat tertentu dalam kehidupan seseorang,pasti dia akan mengalami pertanyaan yang maha berat mengenai ke mana perginya dia selepas kehidupan ini.Tanyalah seorang ateis totok sekalipun,pasti soalan ini pernah tumpah di minda.

Seorang yang mempunyai tujuan,akan menggunakan semua yang ada padanya untuk tujuannya.Seorang penyokong fanatik bolasepak kebangsaan bijak menggunakan pancaran laser yang untuk mengganggu konsentrasi pemain lawan.Menggunakan aset untuk tujuan.

Lantas,soalan di sini,bagaimana corak kematian yang kamu mahukan?Dan apakah sudah menggunakan sepenuh aset telinga,mata dan rasa?

Kita sudah disediakan tujuan dan jalan,kita sudah diberi petunjuk dan bekalan,kita sudah diberikan nabi dah tauladan.


Kamu mahu jadi apa?Dan apa kaitannya dengan kematianmu?


Mahu mati bagaimana?


Mahu berwajah semacam apa nanti di depan Allah?


Tentukan dan buatlah pilihan.




Sunday, January 2, 2011

SATU dua mula

assalamualaikum warahmatullah,

entri satu.

permulaan semua bicara, sepak mula semua agenda, karya pertama seorang hamba mahu menulis untuk bercerita. kalau diizin, aku mahu laung kuat-kuat pada dunia, seperti tiupan serunai yang menegakkan jasad ular tidak bertulang, ataupun jeritan penyokong geram bila bola rembatan pemain kegemarannya melencong tepat ke arah budak-budak milo yang menjadi pengutip bola.

kata-kata biasa kebanyakkan penulis blog, yang meminta untuk dimaafkan sekiranya tulisannya tiada tarikan, tulisannya membosankan dan sangat 'skema'. aku disini juga sama, tapi kalau tiada tarikan, tak mengapa. aku hanya sekadar mencuba, buang masa, tiada kerja cari kerja, dan kalau kata-kata budak-budak indie 'chill la bro'. ha ha.

ada satu lagi penulis bakal menyumbang idea-idea remeh dan tidak punya sebarang isi, tapi cuba untuk menunjukkan bakatnya yang semamangnya tiada. tak perlu kesah atau menunggu kehadirannya, kerana dia ni jenis orang yang tak tahu malu. ha ha. ok sori.

ayuh, mulakan!