Friday, February 11, 2011

Menjadi Dewasa Dan Mengungkit Remaja

Kalau kau manusia berumur belia,kau tegar menjadi pengungkit kisah-kisah lama.

Hidup kanak-kanak dan remaja kau fikirkan mudah.Kala ini kau mahu seluruh jasadmu dikembalikan ke zaman yang kau menghabiskan seluruh kapasiti bijaksana untuk mencari cinta.Juga saat-saat itu kau baru mengenal syahwat,usia pubis kamu meningkat,dan matamu meliar mencari pemakai-pemakai baju ketat dan seluar sendat.

Mahu menjadi kanak-kanak yang bebas dalam bermain dengan setiap rintik hujan,tanpa memikirkan soal demam atau rotan.

Kau mahu hidup kembali dalam zaman yang kau rasakan tidak terbeban dengan semua tekanan.Kau tidak mahu menjadi dewasa yang jenuh memikirkan dan mengeluhkan.

Ya,mengeluh.

Di setiap fasa kehidupan,setiap manusia mengeluh.Kadang-kadang dalam.Kadang-kadang pendek,pelepas letih.

Selalu aku,dan mungkin kau juga terlupa yang kita ini hamba.Yang kita ini makhluk yang selalunya bermasalah.Diciptakan jiwa itu bersifat keluh dan kesah.Merintih dan mendesah.

Allah itu berfirman:

Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun.

Hidup ini untuk diuji.

Bersyukurlah dengan setiap ujian dan dugaan.Menjadi hambalah dengan kesusahan dan penderitaan.Menangislah dan mengadulah,kau serahkan semua perasaan kepada Dia yang mencipta perasaan.

Paksikanlah seluruh tumpuan nafasmu ke arah Allah yang menciptakan.Semoga bila kau habis bernafas,Allah menumpukan seluruh perhatian cintaNya kepadamu.


No comments:

Post a Comment